Khamis, 19 Mei 2011

SATU ANALISIS DAN TEGURAN TAJAM MENIKAM

Adakah Pengundi Terkenangkan PAS?

http://2.bp.blogspot.com/-tLZp0Ml8ZHQ/Tc49S7FqK1I/AAAAAAAAAgw/jGY8uPIzK0c/s320/Istemewa%2Bterkenang.jpg

Orang memang bencikan Umno, tetapi mengapa mereka susah untuk mengundi PAS?

Soalan di atas mungkin kurang disenangi oleh sebahagian orang PAS. Tambah-tambah lagi isu-isu semasa menolak Umno ke dinding. Parti itu semakin terdesak dengan beberapa taktik serangan yang kurang menjadi. Umno terdesak dengan isu Kristian dan isu video Datuk T.

Walau pun terdesak begitu, belum tentu orang tidak akan mengundi Umno dalam PRU akan datang. Isu-isu sebelum PRU seperti tenggelam menjelang PRU. Tenggelam dengan sogokan, ugutan, rayuan dan kenangan bersama Umno.

Kenangan? Ya, orang biasanya mengenang Umno yang berjasa kepadanya sepanjang tahun. Soal jasa itu kecil atau besar, berniat politik atau tidak, itu soal lain. Apa yang penting orang mengenang jasa Umno.

Kenangan menghasilkan undi. Membuatkan orang mengenang bukannya mudah. Kalau sumbangan dihulurkan semasa hampir hari mengundi, itu tidak menjadi kenangan tetapi menjadi juihan mulut.

Umno bijak membuatkan orang mengenangnya. Walau orang tahu Umno jahat, tetapi undi tetap diberikan kepada Umno kerana orang mengenang jasanya. Orang terlupa kejahatannya Umno kerana terkenangkan jasanya.

Cuba fikir, mengapa orang terus sanggup mempertahankan Anwar? Salah satunya kerana orang mengenang jasa Anwar semasa dia dalam Umno dulu.

Orang Permatang Pauh mengundi Wan Azizah, bukan kerana susuk dirinya tetapi kerana orang terkenangkan Anwar. Orang di situ terlalu banyak kenangan dengan Anwar sehingga tidak terlupakan.

PAS parti baik, tetapi orang tidak nampak kebaikan PAS. Tidak banyak yang dibuat oleh PAS supaya orang mengenangnya. Bukan PAS tidak punya jasa, tetapi PAS tidak berupaya membuat jasanya itu dikenang sepanjang masa.

Mengapa orang kurang mengenang PAS? Entahlah, mungkin kerana PAS lebih meminta daripada memberi. Meminta tidak salah, tetapi orang lebih mengenang PAS kerana meminta bukan mengenang PAS kerana memberi.

Bagi saya, selama mana orang tidak mempunyai kenangan dengan PAS, mereka sukar untuk mengundi PAS walau pun mereka membenci Umno. Parti itu jahat, tetapi orang ada kenangan manis dengan parti itu.

Mengapa orang masih sukakan Shahidan Kassim walau pun dia bukan lagi MB? Sudah tentu kerana orang ada kenangan dengannya. Begitu juga, ada orang PAS Perlis yang boleh panggil Bang Cha saja dengan MB Mat Isa Sabu. Kenapa? Kerana orang itu ada kenangan dengan Mat Isa Sabu.

Mungkin orang itu tidak mengundi Mat Isa dalam pilihanraya tetapi dia tentu tidak sanggup bercakap perkara yang kurang sedap mengenai Mat Isa dalam ceramah kerana dia punya kenangan dengan Mat Isa.

Orang tidak sanggup melukakan hati Tok Guru Nik Aziz kerana orang mengenangkan jasanya dan kezuhudannya. Orang tidak sanggup bercakap perkara tidak baik mengenai Ust Fadhil Noor kerana orang mengenangkan sikap humble dan rendah dirinya.

Simpulnya begini, PAS perlu buat sesuatu supaya orang boleh mengenang PAS. Kenangan menghasilkan undi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini